Seleweng minyak masak bersubsidi, campur dengan minyak sembahyang
Sebanyak 1,564 kg minyak dirampas dalam serbuan di sebuah rumah. Gambar kredit Astro Awani |
BUTTERWORTH—Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan menyeleweng dan menjual minyak masak bersubsidi kepada industri ekoran penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Murni, di sini hari ini.
Malah pemeriksaan awal juga mendapati suspek yang mempunyai lesen borong barang kawalan itu turut menjual minyak masak bersubsidi yang telah dicampur dengan pewarna dan pewangi untuk kegunaan sembahyang.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang A.Mogan berkata serbuan ke rumah teres dua tingkat dilakukan pada 1 tengah hari tadi hasil risikan dan maklumat orang awam sejak lima hari lepas.
"Sepasukan empat pegawai penguat kuasa yang menjalankan risikan dan intipan pada mulanya mengekori sebuah lori dipandu seorang lelaki dari tempat pemborong minyak masak peket bersubsidi dari sebuah kilang tidak jauh dari sini sehingga ke rumah di Taman Seri Murni itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya semasa serbuan, lori tersebut dipakirkan di belakang rumah teres lot tepi itu dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an sedang memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi di dalam lori itu untuk dipindahkan ke dalam tong sebelum dijual kepada pihak industri.
Mogan berkata hasil pemeriksaan sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dan 952 kg minyak masak bersubsidi ditemukan.
Katanya pemeriksaan lanjut dalam rumah itu, pihaknya menjumpai 340 kg minyak masak peket bersubsidi yang disimpan dalam satu ruangan khas di kediaman tersebut yang dipercayai turut dijadikan tempat suspek menjalankan kerja-kerja memindahkan minyak bersubsidi ke tong industri.
"Suspek dipercayai mengambil minyak masak daripada pembungkus minyak masak dan seterusnya dihantar terus kepada pelanggan...dia telah menyalahgunakan lesen untuk mendapatkan bekalan dan menyeleweng barang kawalan sebelum menjualkannya kepada pihak industri untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.
Mogan berkata setiap bungkusan minyak masak bersubsidi itu berharga RM2.50 namun suspek menjualnya dengan harga RM6 hingga RM8 bagi setiap kilogram.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas dan semakin aktif sejak 1 Julai lepas berikutan harga minyak masak telah dimansuhkan subsidi kecuali minyak peket sekilogram.
"Semua minyak yang kita rampas hari ini adalah sebanyak 1,564 kg iaitu berharga RM3,910 dan kami turut menyita lori digunakan untuk kegiatan tersebut yang bernilai RM105,000,” katanya menambah suspek ditahan untuk siasatan menurut Akta Kawalan Bekalan 1951 dan kes akan diskordan untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
-- BERNAMA