Selalu boleh dapat RM400, sekarang sesen pun tiada - penjaja Pantai Lutong


Penjaja di Pantai Lutong terjejas selepas kawasan itu dibadai ombak besar semalam. Gambar kredit Aniza Senin


MIRI— Lebih 30 penjaja di Pantai Lutong terjejas sumber pendapatan selepas gerai mereka dibadai ombak dan air pasang besar sejak seminggu lalu.


Fenomena itu menyebabkan kawasan yang popular di kalangan pengunjung tempatan digenangi air serta dicemari serpihan kayu manakala beberapa gerai turut mengalami kerosakan.


Air laut melimpah sehingga ke jalan raya berhampiran Pantai Lutong. Gambar kredit Aniza Senin

Ombak besar itu bukan hanya menghakis kawasan pantai malah melarat ke jalan raya menyebakan sebahagian laluan itu kotor.


Seorang peniaga yang terkesan, Aniza Senin, 40, berkata, keadan itu menyebabkan mereka terpaksa menghentikan perniagaan buat sementara waktu.


Dia yang mencari sumber pendapatan dengan menjual makanan berpanggang dan minuman, berkata hampir seminggu tidak dapat berniaga.


Gambar kredit Aniza Senin


“Sebelum ini saya mampu memperolehi pendapatan sehingga RM400 sehari. 


Namun sejak kawasan ini dilanda ombak besar dan air pasang besar, sesen pun tiada,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.


Aniza menambah, ombak besar tersebut turut merosakkan peralatan gerai seperti meja dan kanopi.


Katanya, dia berniaga di situ 11 pagi hingga 6 petang.


“Tempat ini menjadi tumpuan utama penduduk tempatan untuk beriadah terutama pada hujung minggu. 


Saya berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membantu penjaja berdepan situasi ini sekarang dan masa akan datang,” kata Aniza.


Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting yang dimaklumkan meluangkan masa meninjau persekitaran di pantai itu.


Katanya, pagi semalam kawasan tersebut terjejas terus selepas dibadai ombak setinggi dua meter.


“Bahagian pantai Lutong ini sangat terdedah dengan ombak besar dan air pasang besar. Walaupun terdapat benteng penghadang, ia tidak dapat menghalang menyebabkan air tersebut melimpah ke jalan,” katanya.


Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus meneliti masalah ini dan mengambil langkah penyelesaian yang sewajarnya bagi melindungi kawasan pantai itu.


Setakat ini, kerajaan terus meneliti masalah ini dan  merancang langkah yang wajar bagi melindungi bahagian pantai tersebut.

Next Post Previous Post