Saya mahu bagi 'kaw-kaw' di Birmingham - Bonnie
Gambar arkib |
KUALA LUMPUR—Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin enggan berputih mata lagi pada penampilan keduanya di Sukan Komanwel di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Selepas sekadar menduduki tempat keempat ketika membuat kemunculan pertama dalam acara lightweight di Gold Coast 2018, Bonnie tekad untuk mengubati kekecewaannya dengan membawa pulang emas buat negara di Birmingham.
“Saya tidak kisah catatan yang akan dilakukan berapa kali ini, yang penting saya hendak bagi ‘kaw-kaw’ (sepenuhnya) dapatkan pingat emas di Birmingham,” katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara di Birmingham, badang kerdil dari Sarawak itu mengakui terkejut dan teruja diberi pengiktirafan berkenaan selepas berpeluang melakukannya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tahun lepas.
Juara bertahan Sukan Paralimpik itu berkata keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilihnya sebagai pembawa Jalur Gemilang melonjakkan semangatnya untuk menggegar venue acara, The National Exhibition Centre, dengan meraih keputusan membanggakan buat negara.
Bonnie akan bergandingan dengan pemain skuasy wanita negara Aifa Azman bagi menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Aifa menggantikan pembawa asal Jalur Gemilang di Birmingham, S. Sivasangari selepas pemain skuasy wanita itu terlibat dalam kemalangan jalan raya, bulan lepas.
Dalam pada itu, Bonnie optimis kecederaan ringan di bahu kirinya tidak akan menjejaskan persembahannya dan akan cuba ‘melawan’ demi memastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi England.
Ditanya mengenai ketiadaan seorang lagi wakil powerlifting Jong Yee Khie yang menarik diri dari temasya sukan itu, Bonnie berkata beliau sememangnya akan berasa sunyi tanpa kehadiran rakannya di sisi sepanjang di Birmingham.
“Kali ini saya seorang sahaja atlet powerlifting, rasa sunyi pula sebab biasanya saya keluar bertanding dengan dia (Yee Khie) dan jurulatih,” jelasnya.
MOM pada Jumaat lepas mengesahkan Yee Khie menarik diri berikutan kecederaan dialami pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semasa menjalani sesi latihan persiapan ke Birmingham baru-baru ini.
Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham merangkumi 105 atlet menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.
-- BERNAMA