Sarawak sasar 44 pingat emas di SUKMA
KUCHING—Sarawak mensasarkan sebanyak 44 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 24 September depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara acara sukan berpotensi menyumbang pingat emas ialah berbasikal, BMX, rugbi, golf dan wushu.
"Sebanyak 44 pingat emas yang diberikan kepada kami berasaskan maklum balas dari jurulatih, pengurus pasukan setiap acara sukan.
Mereka sudah membuat pengiraan, melihat prestasi dan optimis dapat kalahkan negeri lain dan menjadi juara," katanya selepas merasmikan Majlis Detik 50 Hari Menjelang Sukma XX, Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 dan Pelancaran Program "Our Star Our Pride" di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, Sarawak akan menghantar seramai 698 orang atlet untuk bertanding dalam 426 acara dari 31 jenis sukan.
"Setiap acara sukan antarabangsa, serantau dan kebangsaan yang diiktiraf seperti SUKMA, pemenang pingat emas, perak dan gangsa mesti diberikan insentif,” tambahnya.
Mesti ada insentif kalau atlet Sarawak menang pingat emas, perak dan gangsa," tambahnya.
Mengenai keseluruhan acara terjun wanita yang digugurkan pada SUKMA kali ini, beliau berkata sedikit mempengaruhi ramalan sasaran pingat bagi Sarawak.
"Kerana kita tahu, acara ini banyak menyumbang pingat sama ada emas, perak ataupun gangsa,"katanya.
Katanya, Sarawak yang mempunyai prestasi cemerlang dalam acara terjun lelaki atau wanita sudah tentu kecewa dengan pembatalan acara itu.
Abdul Karim bagaimanapun yakin keputusan itu masih boleh dipertimbang.
Sementara itu, perlepasan kem atlet Sarawak bakal diadakan di Raia Hotel mulai 10 hingga 12 September diikuti penyerahan bendera Sarawak kepada kontinjen oleh Premier Sarawak pada 13 September.