Sarawak pelawa Singapura laksana transformasi pertanian
Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom |
SINGAPURA—Sarawak mempelawa kalangan pelabur dari Singapura antaranya untuk membawa teknologi bagi transformasi sektor pertaniannya susulan gangguan bekalan makanan global semasa.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada masa sama, Singapura boleh membantu negeri dalam usaha merealisasikan visi 2030.
“Singapura dipelawa untuk memanfaatkan sumber yang ada dan insentif yang disediakan Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan negeri menggalakkan petani tempatan menerima guna perubahan dan teknologi baharu untuk memastikan transformasi sama menang ke atas komuniti pertanian tradisional Sarawak menjadi usahawan agro.
“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM6,000 sebulan menjelang akhir 2030,” katanya.
Menurut Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), kerajaan Sarawak baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sky Urban Solutions Holding Pte Ltd, Singapura untuk membangunkan projek pertanian model di negeri itu.
MoU itu dimeterai pada 4 Julai, 2022 menerusi agensi kerajaan negeri, Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan berkata: “MoU itu pastinya merupakan satu langkah ke hadapan, dan pada masa ini sekurang-kurangnya dua syarikat Singapura lain sedang berunding dengan STATOS, untuk mewujudkan hab pengeluaran makanan tani mereka di Sarawak.”
STATOS adalah inisiatif kerajaan Sarawak untuk mengukuh dan memajukan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan baharu antara Singapura, Sarawak dan di peringkat antarabangsa.
Menurut STATOS, pertanian moden Sky Urban merupakan pendekatan yang agak baharu dan berkepadatan tinggi untuk pertanian yang menguntungkan dan boleh dipercayai.
Sky Urban, diiktiraf secara meluas sebagai perintis dan pemaju terkemuka teknologi pertanian vertikal, mempunyai sistem pertanian dipatenkan yang meraih anugerah reka bentuk tempatan dan antarabangsa.
Ia juga merupakan penggiat utama dalam usaha Singapura untuk meningkatkan bekalan makanan tempatan.
“Teknologi ini menggunakan penyelesaian bandar hijau untuk menghasilkan sayuran yang segar dan selamat, di samping memanfaatkan tanah, air dan sumber tenaga yang minimum.
“Ladang vertikal boleh digunakan di mana-mana sahaja berikutan ia tidak bergantung kepada wujudnya kawasan tanah suai tanam yang luas, dan sistem sedemikian tidak terhad kepada sayuran, malah, boleh digunakan untuk penternakan ikan dan udang dalam persekitaran yang terkawal,” katanya.
STATOS berkata gangguan dan krisis bekalan makanan di seluruh dunia pada masa ini telah mendorong minat dalam kalangan banyak negara untuk meningkatkan bekalan sendiri, selain turut mempelbagaikan sumber bekalan makanan.
“Ini sama seperti Sarawak yang hanya mempunyai kira-kira 2.8 juta penduduk. Rantaian bekalan dan gangguan logistik pada masa ini telah menggambarkan keperluan untuk Sarawak meneliti semula pengeluaran makanannya sendiri agar tidak terlalu bergantung kepada import.
“Sarawak berpotensi untuk menjadi pengeluar dan pengeksport utama produk makanan melalui strategi dan perancangan yang tepat. Sarawak mempunyai banyak tanah dan air dan terletak di pulau Borneo, agak terhindar daripada bencana alam,” kata STATOS.
Menurutnya, Sarawak memerlukan pelabur dalam sektor pertanian, termasuk pertanian akuakultur dan ternakan.
“Sarawak mengalu-alukan pelabur untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden yang akan menambah hasil pengeluaran dan dapat mengeksport produk ini ke Singapura dan di luarnya,” menurut STATOS.
-- BERNAMA