Sabah bakal hadapi krisis tenaga kerja
Gambar hiasan kredit unsplash |
TAWAU—Sabah berkemungkinan menghadapi situasi kekurangan tenaga kerja serius dalam tempoh dua tahun lagi sekiranya penduduk negeri ini berterusan keluar negeri mendapatkan pekerjaan dan pekerja asing pulang ke negara asal.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri Wan Zulkfli Wan Setapa berkata pada masa ini berlaku trend membimbangkan apabila setiap tahun direkodkan seramai 200,000 penduduk keluar dari Sabah untuk mencari peluang pekerjaan.
Beliau berkata Sabah juga bergantung kepada pekerja asing dalam industri antaranya sektor perladangan, pembinaan, restoran serta pertanian, dan data Jabatan Imigresen terdapat lebih 135,000 pekerja bukan pemastautin di Sabah yang lebih 50 peratus merupakan warga Indonesia.
"Jika perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan pada tahun 2024 itu akan menarik pulang tenaga kerja Indonesia yang bekerja di Sabah...jika 50 peratus pekerja (Indonesia) ini keluar Sabah ekonomi boleh runtuh, ini lontaran kerisauan saya dan pemain industri juga perlu risau.
“Pihak berkaitan perlu melihat perkara berkenaan agar dapat mencari satu alternatif atau dasar pemisah bagi mengatasi seterusnya menyelesaikan isu itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Perburuhan Peringkat Sabah Tahun 2022 di sini hari ini.
Wan Zulkfli berkata sehubungan itu kerajaan Persekutuan, negeri serta pihak industri perlu duduk semeja bagi mencari penyelesaian isu tersebut.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau berkata semua pihak perlu bersedia kerana tempoh dua tahun itu tidak begitu lama dengan keadaan Sabah pada ketika ini turut berdepan kekurangan tenaga kerja.
Menurut beliau ketika ini terdapat 1.8 juta pekerja asing di Sabah yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
-- BERNAMA