Rumpai laut pemangkin ekonomi masyarakat setempat di Sabah

Sabah mengeksport kira-kira 20,000 tan rumpai laut setahun. Gambar hiasan kredit KKP

SEMPORNA—Hamparan hijau, putih, kuning dan ungu seluas mata memandang menyambut ketibaan penulis di Pulau Sangaban dekat sini. 


Pemandangan indah persis musim bunga di negara empat musim itu membuatkan perjalanan selama 20 minit menaiki bot dari Semporna ketika matahari membahang terasa berbaloi, walaupun warna-warni yang terbentang di atas pelantar kayu berkenaan sebenarnya adalah rumpai laut yang sedang dikeringkan. 


Dianggap sebagai antara komoditi penting Sabah, rumpai laut menjadi pemangkin ekonomi masyarakat setempat khususnya di Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kunak, membabitkan kira-kira 1,200 pengusaha.


Lantaran itu juga tumbuhan marin tersebut dikategorikan sebagai komoditi bernilai tinggi dalam Dasar Agromakanan Negara, selain akuakultur dan ikan hiasan. 

 

MANFAATKAN PERAIRAN 

 

Perairan yang tenang dengan arus yang tidak kuat antara faktor kepulauan Sabah begitu sesuai untuk pengkulturan pelbagai jenis rumpai laut yang banyak digunakan dalam industri farmaseutikal, kosmetik dan juga makanan.


Antara rumpai laut yang dikulturkan di negeri itu ialah red dan brown seaweed, dan di Semporna, red seaweed atau rumpai laut merah daripada spesies Kappaphycus menjadi pilihan kerana benihnya mudah diperoleh.


Menurut Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim, negeri itu merupakan pengeluar tunggal rumpai laut merah di dunia dengan kebanyakannya dieksport ke China.


“Rumpai jenis ini mendapat permintaan yang tinggi di China kerana di sana ada banyak kilang yang mengeluarkan produk berasaskan rumpai laut,” katanya kepada Bernama.


Jelasnya, sebelum penularan pandemik COVID-19, Sabah mengeksport kira-kira 20,000 tan rumpai laut setahun, namun sejak tiga tahun lepas pengeluaran berkurangan kepada sekitar 18,000 tan yang menyumbang kira-kira RM60 juta kepada pendapatan negeri.


“Ketika ini, harga (yang dibeli daripada pengusaha) untuk satu kilogram rumpai laut ialah RM7, bergantung pada musim,” katanya, menambah pengeluaran komoditi itu lazimnya meningkat pada penghujung tahun.

 

PROJEK NUKLEUS DI SEMPORNA 

 

Azhar berkata penanaman rumpai laut di Sabah bermula pada 1970-an dan kerajaan mula memberi perhatian lebih serius dengan membantu membangunkan sektor tersebut pada 1990-an.


“Pada 2010, kerajaan persekutuan memperkenalkan projek rumpai laut sebagai industri berimpak dan bernilai tinggi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dengan menyediakan peruntukan untuk komoditi itu dibangunkan secara komersial,” katanya.


Jabatan Perikanan Sabah terlibat secara langsung dalam pembangunan rumpai laut di samping memperkenalkan beberapa program sendiri, antaranya Program Mini Estet yang membabitkan sektor swasta dan Projek Kluster yang menggabungkan minimum 30 peserta di bawah projek berkelompok. 


Mengulas lanjut, Azhar berkata pada tahun lepas, kerajaan memperkenalkan Projek Nukleus di bawah NKEA, dan sebagai permulaan, melibatkan 30 pengusaha di Pulau Kerindingan dan Pulau Omadal di sini.


“Projek Nukleus membantu pengusaha kecil serta mereka yang hidup bergantung pada sumber laut seperti nelayan, meningkatkan pendapatan,” katanya, menambah menerusi projek itu, peserta mampu memperoleh pendapatan antara RM1,000 dan RM3,000 sebulan.


Menurutnya lagi, industri rumpai laut mampu memberikan hasil yang cepat iaitu boleh dituai selepas 40 hingga 45 hari  benih “ditanam”. 

 

KEHIDUPAN LEBIH BAIK

 

Seorang pengusaha, Piandau Muhamad, 50, yang berasal dari Pulau Menampilik, berkata sebelum ini dia menanam rumpai laut bagi kegunaan sendiri, namun memutuskan untuk terlibat secara lebih serius selepas ditawarkan menyertai Program Pembangunan Rumpai Laut (PPRL) yang dijalankan oleh kerajaan.


“PPRL menyasarkan ketua isi rumah termiskin di daerah ini. Bertitik tolak dari program ini dan kemudian mengikuti program bantuan Jabatan Perikanan Sabah, kehidupan kami kini bertambah baik.


“Bermula dengan 20 ekar (lapan hektar), kini saya dan suami mengusahakan tanaman itu di kawasan perairan seluas 300 ekar di Pulau Sangaban dan memberi pekerjaan kepada 50 keluarga di pulau tersebut,” cerita wanita berkenaan, menambah ladangnya mampu menghasilkan kira-kira 20 tan rumpai laut sebulan.


Piandau yang berpengalaman lebih 21 tahun dalam penanaman rumpai laut dan menerima pelbagai bantuan daripada Jabatan Perikanan Sabah termasuk benih dan bot, bagaimanapun berharap kerajaan dapat menimbang untuk menyediakan pelantar bagi menjemur rumpai laut di pulau berkenaan. 


Seorang lagi pengusaha, Manan Alirahman, 50, berkata selepas terlibat dalam penanaman rumpai laut secara komersial, kehidupannya sekeluarga berubah kerana dia kini mampu memperoleh pendapatan tetap, berbanding semasa bekerja sebagai nelayan. 


“Menanam rumpai laut ini demi ‘kemajuan’ keluarga dan bagi anak sekolah,” kata bapa kepada lapan cahaya mata itu yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan penanaman rumpai laut. 

 

BANGKIT SELEPAS PANDEMIK

 

Sementara itu, pemborong dan pembekal rumpai laut Julaspri Osman berkata setiap bulan syarikatnya mengeksport kira-kira 100 hingga 200 tan rumpai laut kering ke sebuah kilang di Shanghai, China.


“Bekalan rumpai laut ini saya peroleh daripada 500 ke 600 pengusaha di Semporna, dan setakat ini tiada aduan atau masalah berkaitan rumpai laut yang kita eksport,” katanya yang menceburi bidang itu kira-kira 10 tahun lepas.


Julaspri berkata syarikatnya turut mengeksport rumpai laut ke Eropah menerusi usaha sama dengan sebuah syarikat di China.


Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi semasa penularan COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, usahawan itu berkata sepanjang tempoh tersebut, beratus tan rumpai laut tersimpan di gudang kerana tidak dapat dieksport.


“Syarikat mengalami kerugian besar ketika itu, namun kita tetap beli rumpai laut yang dibekalkan oleh pengusaha cuma pada harga lebih rendah. Ini bagi membantu kelangsungan hidup mereka,” jelasnya, menambah kini permintaan terhadap produk berkenaan semakin meningkat.  


-- BERNAMA

Next Post Previous Post