Rumah nyaris terbakar dipanah petir
Keadaan bumbung sebuah rumah di Taman Rafflesia, Jalan Dato Mohd Musa yang terbakar selepas terkena panahan petir petang tadi. Gambar kredit Bomba Sarawak |
KOTA SAMARAHAN—Sebuah rumah nyaris terbakar selepas terkena panahan petir di Taman Rafflesia, Jalan Dato Mohd Musa, di sini petang ini.
Bagaimanapun, api kecil tersebut berjaya dipadamkan oleh pekerja kilang yang berdekatan rumah menggunakan alat pemadam api.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 5.05 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
"Setiba pihak Bomba di lokasi, telah berlaku kebakaran pada bahagian bumbung pemanggil jenis struktur kekal dua tingkat.
"Menurut pemilik rumah, bumbung rumahnya terkena panahan petir petang tadi ketika hujan lebat lalu mengakibatkan berlaku percikan api sebelum mengeluarkan asap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak Bomba menjalankan size-up, pemeriksaan ke atas kesan kebakaran di dalam bumbung bagi tiada lagi punca yang boleh menyebabkan api berulang.
Kebakaran tiada melibatkan pada bahagian struktur rumah tersebut dan operasi tamat jam 6.10 petang.