Rumah disimbah cat dipercayai angkara pinjaman Ah Long

Gambar hiasan kredit ramblingmanx.wordpress.com


SIBU--Rumah seorang wanita di Brooke Drive di sini disimbah menggunakan cat merah dipercayai angkara hutang bekas suaminya dengan Ah Long.



Wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah berusia 53 tahun itu terkejut mendapati bahagian halaman hadapan rumah, tempat letak kereta dan pintu utama rumah telah disimbah cat merah sebaik balik dari Miri jam 10 malam Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, bekas suami mangsa ada membuat pinjaman dari Ah Long, namun tidak tahu dengan siapa dia buat pinjaman kerana mereka sudah lama tidak hidup bersama dan tidak berhubung selama dua tahun. 


Menurutnya, mangsa tidak pasti bila tarikh kejadian berlaku kerana tiada siapa di rumah pada masa itu.


"Mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut. Oleh kerana merasa bimbang akan keselamatan diri mangsa membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial(BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sibu telah ke tempat kejadian melakukan siasatan.


"Setakat ini masih belum ada petunjuk suspek kerana tiada CCTV di kawasan rumah dan sekitar," ujarnya.


Beliau berkata,tindakan selanjutnya ialah mengesan suami mangsa yang membuat pinjaman Ah Long bagi pengesanan suspek.
Next Post Previous Post