Remaja ditemukan lemas
Anggota bomba mengusung mayat remaja lelaki yang lemas semasa mandi di air terjun di Rumah Chundi, KM 9 Jalan Samarakan, petang tadi. Gambar BBP Bintulu |
BINTULU— Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di air terjun di Rumah Chundi di Kilometer 9 Jalan Samarakan ditemukan mati lemas pada 6.18 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Christus Buson, berkata mayat Mohammad Iqram Farmizi Zainal, 18, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kedalaman 22 kaki air terjun berkenaan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Borneo Network sebelum ini melaporkan, mangsa dilaporkan hilang semasa mandi-manda di air terjun tersebut pada 3 petang.
Sejurus selepas itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu yang dimaklumkan berhubung insiden berkenaan pada 3.12 petang kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu.
Sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu dengan bantuan PPDA digerakkan ke lokasi kejadian bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Dengan penemuan mayat itu, operasi SAR ditamatkan serta-merta pada 6.43 petang.