Proses pengambilan pekerja asing Indonesia, Bangladesh diperhalusi
Datuk Seri M.Saravanan |
KEPALA BATAS-- Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan esok untuk meneliti dan memperhalusi proses berkaitan pengambilan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini sudah dapat ditangani dan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh telah membuat proses pengesahan.
“Esok saya akan adakan perbincangan dengan KDN supaya kita meneliti dan memperhalusi bagaimana cara mengatasi masalah dengan secara berhemah dan setakat ini, kita telah luluskan untuk sektor perladangan, pembangunan, pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.
“Bagi proses pengambilan pekerja asing dari Indonesia, ini juga akan dibincangkan esok dengan KDN. Perkara ini melibatkan dua kementerian dan adalah lebih elok jika sebarang keputusan dibuat bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.
Mengulas mengenai karnival anjuran KSM menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu, beliau berkata ia merupakan satu daripada cara untuk memastikan kadar pengangguran kekal rendah.
“Di Pulau Pinang, kadar pengangguran kekal rendah dan berkurangan kepada 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 3.5 peratus pada suku pertama tahun lepas.
“Di samping pelbagai usaha bagi menambah peluang pekerjaan, KSM juga menyasarkan untuk membudayakan pemahiran semula, peningkatan kemahiran dan silang kemahiran untuk memastikan kebolehpasaran siswazah kekal tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata KSM memperuntukkan RM46,000 bagi caruman Perkeso di bawah Skim Pekerjaan Sendiri untuk 1,000 orang warga Pulau Pinang.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut hadir pada majlis itu berkata Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang menawarkan 12,404 peluang pekerjaan dengan penglibatan 24 majikan daripada pelbagai sektor.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut mengumumkan peruntukan sama bagi caruman dan skim sama untuk 1,000 orang warga Kepala Batas.
-- BERNAMA