Perwakilan PKR syor gilir jawatan PM jika PH memerintah

Abun Sui Anyit

SHAH ALAM-- Seorang perwakilan hari ini mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mewujudkan sistem penggiliran jawatan perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Wakil Sarawak Abun Sui Anyit ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memasuki hari kedua hari ini berkata cadangan mewujudkan sistem penggiliran itu perlulah membabitkan pelantikan pemimpin dari Sabah dan Sarawak.


Perwakilan Sabah, Peto Galim pula mencadangkan supaya PH mewujudkan manifesto khusus untuk Negeri Di Bawah Bayu merangkumi isu kemiskinan, pendatang tanpa izin, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pelan ekonomi Sabah, hak orang asal Sabah, peluang kerja, keselamatan dan reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Perwakilan Johor, Dr Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan pula menegaskan PKR perlu menjadi parti yang sentiasa menjulang kepentingan pendidikan kepada seluruh rakyat yang merentasi kaum, ideologi dan kawasan untuk memastikan tiada yang tercicir atau dinafikan hak pendidikan.


Seramai 18 perwakilan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam sesi perbahasan hari ini.


Pada kongres hari ini, perwakilan turut menunaikan kewajiban masing-masing untuk memilih 20 pemimpin yang akan membarisi barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2022-2025.


Esok, kemuncak kongres diteruskan dengan pengumuman ahli MPP dan disusuli dengan ucapan penggulungan pemimpin tertinggi parti.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post