Perkeso pantau majikan elak penyelewengan berulang


KUALA LUMPUR— Tapisan ketat dan pemeriksaan mengejut akan dibuat secara berterusan ke atas majikan yang terlibat dalam Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya), kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.


Beliau berkata tapisan ketat itu yang melibatkan dokumen tuntutan bayaran majikan serta pemeriksaan ke atas premis, penting dilaksanakan untuk memastikan tiada lagi penyelewengan oleh pihak majikan.


“Seperti yang saya nyatakan, bukan kita (Perkeso) tidak memantau sebelum ini (proses tuntutan bayaran) tetapi ada daripada mereka (majikan) mungkin ada cara untuk memanipulasi seperti ia (dokumen) nampak tulen.


“Tetapi apabila kita ke lapangan menemu bual pekerja, baru kita tahu ada unsur-unsur yang menjurus ke arah penyelewengan. Sebab itu proses ini akan sentiasa berjalan, kita tidak akan berkompromi untuk pastikan tindakan diambil bagi memberhentikannya,” katanya.


Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai isu penyelewengan PenjanaKerjaya pada sidang media pelanjutan program JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) dan Pencapaian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.


Perkeso sebelum ini dilaporkan menggantung bayaran PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta berikutan penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan dan susulan itu, 42 individu telah ditangkap menerusi Op Hire kerana dipercayai terbabit penyelewengan berkenaan.


Mohammed Azman berkata penyelewengan tersebut dapat dikesan berdasarkan data dan parameter yang dibuat oleh pihak risikan dalaman sebelum maklumatnya disalurkan kepada pihak berkuasa. 


Dalam perkembangan lain, Mohammed Azman berkata pihaknya yakin dapat memenuhi mandat kerajaan untuk menyediakan sebanyak 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan sepanjang tempoh enam bulan pelanjutan pelaksanaan Program JaminanKerja-Insentif Penggajian (JKIP), sehingga Disember ini. 


Katanya bagi mencapai sasaran itu, sebanyak RM475 juta akan disalurkan sebagai insentif kepada para majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat pengambilan pekerja. 


“Sasaran 55,000 peluang pekerjaan itu adalah terbuka untuk semua sektor. Berdasarkan statistik program itu sebelum ini, ramai telah menerima manfaat termasuk 3,568 golongan wanita,” katanya.


Menyentuh Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 selama lima hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini yang melabuhkan tirai pada Rabu, Mohammed Azman berkata program berjaya menarik hampir 14,000 pengunjung dan membantu seramai 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan manakala 10,698 orang lagi berjaya ke peringkat temu duga kedua.


Katanya penganjuran program itu yang merupakan karnival kerjaya terbesar pernah dianjurkan Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai ekspo kerjaya terbesar pernah diadakan di Malaysia.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post