Pembeli kecewa, lapan tahun bayar rumah tak siap

Rumah di Golden Hill Villa 2 yang sudah lapan tahun tidak siap. Gambar kumpulan WhatsApp


BINTULU— Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah istilah yang sesuai untuk seramai 64 pembeli rumah di Golden Hill Villa 2 di sini yang sudah lapan tahun menunggu untuk berpindah ke rumah tersebut.  


Lagi menyedihkan, pembeli yang majoritinya kakitangan swasta kini cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah dan perlu membayar ansuran bulanan rumah itu antara RM1,000 hingga RM2,000.



Seorang kakitangan swasta berkata, dia amat kesal apabila rumah dibeli yang dibina sejak lapan tahun lalu sehingga kini gagal diserahkan kepada mereka.


“Pembiayaan bayaran pinjaman perumahan dibuat secara potongan gaji sejak tahun 2014, namun sehingga kini rumah tersebut masih belum dapat disiapkan dan diduduki,” katanya.


Tindien Tom, 35, yang merupakan salah seorang  pembeli kediaman selaku mewakili pembeli rumah yang lain di situ berkata, mereka amat kecewa dengan sikap pemaju yang berdolak-dalih dalam proses penyiapan unit rumah mereka.


“Kali terakhir kami mengadakan mesyuarat dengan pemaju pada 7 Disember 2019. 


Mereka memberi jaminan bahawa rumah akan siap sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan dan bersetuju menyerahkan rumah kepada pembeli pada Mac 2021.


Namun sehingga kini, mereka terus memberikan pellbagai alasan yang tidak munasabah,” katanya.


Katanya, sebelum ini pembeli telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan pemaju dan pihak berwajib sepanjang 2017, 2018 dan 2019.


Tindien menambah, sikap pemaju ini menyebabkan pembeli bertambah buntu.


“Harapan kami untuk memiliki rumah sendiri terus pudar ditambah lagi kos sara hidup yang kian meningkat menghimpit.


Kami sebagai pembeli yang terjejas berharap kerajaan Sarawak campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Next Post Previous Post