Ongkili tidak bersetuju dengan usul Perjanjian Malaysia baharu

Dr Maximus Johnity Ongkili memegang salinan asal Perjanjian Malaysia atau Malaysia Agreement 1963  yang hanya boleh didapati di National Archive, London pada 22 Jun lalu. Gambar kredit HESS


KOTA KINABALU—Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini menzahirkan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan usul Perjanjian Malaysia baharu.


Beliau berkata Perjanjian Malaysia yang asal dan ditandatangani pada 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, adalah satu dokumen suci serta asas berkaitan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata langkah membuang MA63 adalah seolah-olah meninggalkan Persekutuan Malaysia.


“Tiada MA63, tiada Malaysia. Tambahan pula, dengan pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada Disember 2021, MA63 kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan … (usul) ini tidak akan memperkukuh Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.


“Kita mesti membina kekuatan, kedamaian dan solidariti. Kita perlu mengelak bermain dengan semantik dan politik,” katanya.


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang Sabtu lepas, mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post