Objek bercahaya di langit Sarawak sah serpihan roket China

Objek bercahaya merentasi ruang udara di Kuching yang sempat dirakamkan malam tadi. Gambar dan Video kredit  Mohd FaRrel

KUALA LUMPUR-- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan objek bercahaya yang dilihat memasuki ruang udara bumi di Sarawak adalah serpihan (debris) roket Long March 5B milik negara China.


MOSTI dalam kenyataan hari ini berkata, melalui pemantauan secara berterusan, pihaknya telah mengesan serpihan roket itu pada 00:55 am , 31 Julai 2022 waktu Malaysia.



"Serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Negeri Sarawak.


"Sisa serpihan yang terbakar berkenaan telah direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 ° Utara dan longitud 119.0 ° Timur," jelasnya.


Terdahulu, penduduk di beberapa bahagian di Sarawak digemparkan dengan kehadiran objek bercahaya yang merentasi ruang udara negeri ini tengah malam tadi.


Ada di kalangan mereka sempat merakam kejadian itu dan mendakwa ia adalah tahi bintang atau meteor yang melalui ruang udara bumi di negeri itu.


Sementara itu, MailOnline melaporkan, pakar-pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa penggalak roket China yang dilepaskan di luar kawalan akan meluncur kembali ke Bumi.


Saintis-saintis  juga mengesahkan serpihan tersebut mungkin jatuh di kawasan berpenduduk di Asia, Afrika atau Amerika Utara.


Serpihan angkasa lepas yang didakwa akan melanggar Bumi itu berasal daripada roket Long March 5B yang dilancarkan pada 24 Julai lalu untuk menghantar modul Wentian ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China.


Penggalak seberat sekitar 22 tan itu dijangka memasuki semula atmosfera Bumi pukul 6.26 petang hari ini waktu Musim Panas Britain (1.26 pagi nanti  waktu Malaysia) dengan sela  masa  enam jam awal atau lambat, demikian menurut Aerospace Corporation.


Aerospace Corporation merupakan badan bukan bermotifkan keuntungan AS yang menjejaki serpihan angkasa lepas.


Setakat petang semalam, ramalan terkini mencadangkan ia mendarat di China tetapi firma tersebut berkata, masih ‘terlalu awal’ untuk mendapatkan kepastian lokasi sebenar   serpihan tersebut jatuh.


Menurutnya, apabila serpihan itu semakin hampir dengan Bumi, ramalan akan menjadi  semakin tepat.


Aerospace Corporation menyatakan bahawa  ‘wujud kebarangkalian  bukan sifar’ serpihan roket itu jatuh  di kawasan berpenduduk walaupun risikonya amat rendah.


“Kemasukan semula objek saiz tersebut  ini tidak akan terbakar sepenuhnya di atmosfera Bumi. -AFP

Next Post Previous Post