Nanta: Masalah bekalan RON95, diesel di Kapit selesai
Nanta Linggi meninjau salah sebuah stesen minyak di Kapit hari ini. |
SIBU—Keresahan penduduk Kapit mengenai masalah kehabisan bekalan petrol dan diesel di pasaran tempatan berakhir apabila penghantaran segera bekalan 10,000 liter petrol RON95 dan 6,000 liter diesel tiba di bandar Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini, hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata baru-baru ini timbul isu masalah bekalan petrol dan diesel yang meresahkan penduduk di Kapit dan isu setempat itu terus mendapat perhatian beliau walaupun sibuk dengan urusan di Putrajaya.
“Hari ini, jualan petrol dan diesel untuk kegunaan orang ramai di Kapit kembali pulih, selepas lori tangki selamat tiba dengan muatan bekalan 16,000 liter, masing-masing 10,000 liter petrol RON95 dan 6,000 liter diesel, kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Penghantaran segera bagi menyelesaikan masalah bekalan ini, sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa ia berpunca daripada tindakan yang disengajakan. Sebaliknya, kehabisan bekalan bahan api di Kapit adalah berikutan sedikit gangguan terhadap jadual penghantaran,” katanya menerusi hantaran media sosial miliknya hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, masalah berkenaan sudah selesai dan bekalan RON95 serta diesel akan dihantar mengikut jadual biasa mulai esok dengan muatan keseluruhan 125,000 liter bagi menampung kegunaan orang ramai yang lazimnya mencukupi untuk tempoh tiga hari.
-- BERNAMA