Nak sangat tunjuk "hero" atas jalan, dua remaja dicekup polis
SIBU--Padah tunggang motosikal sambil buat aksi bahaya, dua remaja lelaki dicekup polis semasa Op Samseng Jalanan di Jalan Sibu Jaya semalam.
Memetik kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerusi Facebook rasminya, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu melibatkan seorang pegawai dan lima anggota dari jam 4 petang hingga 9 malam.
"Dua remaja dalam lingkungan umur belasan tahun ditangkap dipercayai telah melakukan aksi membahaya di atas jalan raya," katanya.
Tambahnya, remaja tersebut telah dibawa ke balai trafik untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 5 tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan RM15,000.
Dalam operasi itu juga, polis turut mengeluarkan 39 keping saman Pol. 257 atas pelbagai kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak sesekali melakukan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya yang dapat membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.
"Maklumat berkaitan samseng jalanan boleh disalurkan kepada pihak BSPT Sibu bagi sama-sama mengekang kegiatan ini. Kerjasama orang ramai sangat dialu-alukan," ujarnya.