Lembu, kambing di Sarawak bebas FMD:Dr Rundi
KUCHING-- Tiada kes penyakit kuku dan mulut (FMD) melibatkan lembu dan kambing yang diternak di Sarawak setakat ini, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata Sarawak telah mengharamkan pengimportan lembu dari Indonesia berikutan wabak tersebut dikenal pasti di Kalimantan Barat.
Justeru, beliau berkata ternakan yang akan dikorbankan sempena Aidiladha di negeri ini adalah sihat serta bebas penyakit.
“Jabatan Veterinar telah mengenakan sekatan atau Kawalan Pergerakan Ternakan dari kawasan kawalan FMD ke kawasan yang lain. Setakat ini, bahagian yang telah diwartakan sebagai kawasan kawalan FMD ialah Kuching, Serian, Sri Aman, Miri dan Limbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Sarawak memerlukan kira-kira 2,000 ekor lembu setiap tahun bagi ibadah korban dan bekalan haiwan itu adalah mencukupi.
Ibadah korban oleh umat Islam dilaksanakan bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah (esok) dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.
-- BERNAMA