Kompleks ICQS Sungai Tujoh siap sedia pembukaan pintu sempadan 1 Ogos

Lee semasa meninjau persiapan di Pos Kawalan ICQS Sungai Tujoh baru-baru ini.

MIRI—  Pos Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh sedang membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran kemasukan pelancong ke bandar ini dengan pembukaan pintu sempadan bermula 1 Ogos ini.


Tinjauan Borneo Network hari ini mendapati, persiapan sedang rancak dilakukan dengan 14 kaunter dijangka dibuka di pintu keluar masuk melalui ICQS Sungai Tujoh.


Kad pengembara yang perlu diisi sebelum memasuki Pos Kawalan ICQS Sungai Tujoh


Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin ketika lawatan ke Komplek ICQS ini baru-baru ini berkata, persiapan itu penting bagi mengelakkan kesesakan terutama pada hari pertama pembukaan.


"Proses untuk masuk ke pintu sempadan di pos kawalan Sungai Tujoh Miri sangat mudah, selain telah mendapat vaksin penuh, pengembara hanya perlu memuat turun aplikasi  MySejahtera dan mengisi data kesihatan mereka pada kad pengembara sebagai proses praperlepasan," ujarnya.


Warga negara asing mula dilihat memasuki pintu sempadan ICQS Sungai Tujoh.


Beliau menambah, bagi memastikan proses ini berjalan lancar dan cepat, pemgembara dinasihatkan agar mengisi kad pengembara dan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) sebelum tiba di pos kawalan sempadan ICQS Sungai Tujoh.


Untuk rekod, jumlah kemasukan dan keluar pengembara pada hari biasa sebelum pandenik COVID-19 sekitar 3,000 sehingga 4,000 orang, manakala pada hujung minggu 5,000 hingga 6,000 orang sehari dan meningkat ke sekitar 7,000 pada cuti umum.


Pos kawalan ICQS Sungai Tujoh ditutup sejak dua tahun lepas berikutan wabak COVID-19.


Pembukaan pintu sempadan Brunei pada 1 Ogos ini sudah pasti amat dinantikan oleh rakyat dari kedua-dua negara.

Next Post Previous Post