Kes kenderaan JPJ dirempuh jengkaut: Henry Sum ingatkan anggota waspada

Kes polis,jengkaut dibawa ke IPD Keningau. Gambar kredit media sosial 

LAWAS—Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diingatkan tidak leka dan sentiasa berwaspada dalam setiap operasi dan tugas  penguatkuasaan dijalankan, khusus berdepan kejadian tidak dijangka.


Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk  Henry Sum Agong berkata insiden  seorang lelaki nekad melanggar pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya dalam kejadian berlaku di Keningau amat dikesali.


“Insiden ini  berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja jika pihak terlibat tidak waspada ataupun cuai.


"Perkara seperti ini sepatutnya dapat dielakkan jika semua waspada dan paling penting mempunyai sikap atau pendekatan yang baik,”katanya kepada media hari ini ketika mengulas insiden pacuan empat roda milik JPJ dirempuh hingga terbalik menggunakan jengkaut oleh seorang lelaki di Keningau pada Khamis.


Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, di sini, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk.


Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki jengkaut terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.


Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar kenderaan milik JPJ sehingga terbalik.


 Video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Next Post Previous Post