Kerajaan semak semula pengurusan pusat beli-belah milik GLC

Ismail Sabri ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun UDA Holdings Berhad (UDA) ke-50 di sini malam tadi. Gambar kredit Institut Koperasi Malaysia

PETALING JAYA— Kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan syarikat tempatan, agar peniaga bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata perkara ini bertujuan meningkatkan status sosio-ekonomi bumiputera dan penglibatan usahawan bumiputera di pusat beli-belah.


“Penglibatan bumiputera kini harus bukan sahaja di sektor informal, tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)”, katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun UDA Holdings Berhad (UDA) ke-50 di sini malam ini.


Menurut Perdana Menteri sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, usahawan termasuk bumiputera dapat kembali bernafas dan menjalankan perniagaan, yang secara langsung membantu menggerakkan semula ekonomi negara.


“Ketika kita (negara) berdepan dengan tekanan inflasi, nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei, dengan pertumbuhan 19.9 peratus iaitu sebanyak RM129.8 bilion, tertinggi sejak 2013,” kata beliau.


Meskipun begitu, Ismail Sabri berkata status sosio-ekonomi bumiputera masih di tahap rendah dan penglibatan usahawannya perlu dipertingkatkan.


Justeru beliau mencadangkan agar UDA  dapat menjual atau menyewakan ruang-ruang perniagaan sedia ada, pada kadar yang mampu ditanggung oleh usahawan bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.


“Ini untuk membolehkan usahawan bumiputera berniaga dalam suasana yang lebih selesa dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” kata Ismail Sabri.


Beliau berkata kerajaan sentiasa komited dalam memperkasa bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022.


Mengulas mengenai UDA yang mencapai usia separuh abad pada 12 Nov tahun ini, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga atas kejayaan UDA selama 50 tahun membantu membangunkan negara.


“Saya berharap agar pencapaian ini akan menyemarakkan lagi keazaman generasi masa kini untuk terus-menerus melakar kejayaan seperti yang dikecapi UDA,” katanya.


Namun pada masa yang sama Ismail Sabri turut mengingatkan UDA supaya tidak harus merasa puas hati atas pencapaian mereka selama ini, kerana sektor hartanah dan perniagaan sentiasa berkembang.


Perdana Menteri kemudiannya mengumumkan dana RM100 juta untuk UDA membantu pusat komersil dan usahawan bumiputera.


Beliau turut melahirkan harapan agar UDA terus gemilang melahirkan komuniti yang inklusif dan mampan dan bersama-sama kerajaan dalam memulihkan kembali ekonomi negara dan mendoakan agar UDA terus maju dalam melaksanakan pembangunan negara dan bergerak seiring dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.


Pada majlis yang sama Perdana Menteri turut melancarkan buku ‘UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post