Keadaan bekas PM Jepun Abe 'kritikal'

Gambar kredit Biography

ANKARA/ISTANBUL-- Bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dilaporkan berada "dalam keadaan kritikal" selepas ditembak ketika berucap dalam satu kempen di bandar raya Nara pada Jumaat.


Penyandang Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata petugas kesihatan sedang "bertungkus lumus" merawat Abe, lapor Agensi Anadolu.


Abe, 67, dilaporkan “ditembak dari belakang” oleh suspek yang kini sudah ditahan.


Insiden itu berlaku kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.


Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti  Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.


Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah dan tersembam ke tanah. 


Menurut saksi kejadian "dia tidak sedarkan diri dan tidak bertindak balas,” lapor NHK.


Penyerang telah dikenal pasti sebagai Tetsuya Yamagami, 41, penduduk bandar Nara. 


Senapang patah yang digunakan dalam serangan itu telah dirampas, menurut Agensi Anadolu.


Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat - pertama pada 2006 dan kemudian sekali lagi dari 2012 hingga 2020.


Pada 20 September 2006 beliau dipilih sebagai ketua LDP, ketika berusia 52 tahun.


Beliau adalah perdana menteri termuda Jepun dalam era selepas perang dan rekod ini masih kekal.


Bagaimanapun, beliau membuat kejutan apabila tiba-tiba meletak jawatan kerana masalah kesihatan pada 2007, ketika hanya baru setahun menjadi perdana menteri - September 2006 hingga September 2007.


Pada September 2012 , Abe kembali menerajui LDP dan kemudian membawa parti itu menang majoriti besar pada Disember.


Disebabkan masalah kesihatan beliau kemudian mengumumkan peletakan jawatannya pada 2020.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post