Ibu dari Lawas mohon bantuan rawat bayi melecur di Hospital Umum Sarawak

Mohammad Fahrym Amin Hali, 1, melecur  di bahagian perut, tangan dan kaki selepas terkena tumpahan air panas.

LAWAS— Ibu bapa kepada seorang bayi yang melecur akibat terkena air panas memohon sumbangan kewangan bagi membantu menampung kos perbelanjaan dan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Hartini Arsyad, 39, dari Kampung Seberang Kedai Trusan, Lawas, berkata dalam kejadian 10 pagi Sabtu lepas, Mohammad Fahrym Amin Hali, 1, melecur  di bahagian perut, tangan dan sebelah kaki selepas terkena tumpahan air panas.


Dia berkata, kejadian berlaku selepas abang  Fahrym,5, sedang mencapai cerek elektrik yang berada di atas peti sejuk rumah mereka.


“Abangnya tidak menyedari wayar cerek elektrik yang hendak dicapainya tersangkut pada pintu peti sejuk lalu tertumpah ke badan adiknya (mangsa) yang berada berhampirannya,” katanya kepada Borneo Network hari ini.


Susulan itu anaknya  dikejarkan ke Hospital Lawas sebelum  dirujuk ke Hospital Miri.


Hasil inisiatif Hospital Miri, bayinya dihantar  ke HUS  menggunakan helikopter.


“Mujurlah keadaan Fahrym  kini dalam keadaan stabil.


Namun saya tidak dapat menahan rasa setiap kali bangun dari tidur, bayi saya akan  menangis akibat kesakitan yang ditanggungnya,” kata Hartini.


Beliau  merayu bantuan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka sekeluarga.


“Bantuan ini amat diperlukan untuk membantu menampung kos perubatan anak bongsu saya dan perbelanjaan sepanjang menjaganya di sini,” katanya.


Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank (ayah  Fahrym) bernombor 561042007296  atas nama Hali  Mansor.

Next Post Previous Post