Hilang tempat tinggal sekelip mata
BELAGA-- Seramai 680 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang Uma Sambop di sini, terbakar petang semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang memusnahkan keseluruhan 86 pintu rumah panjang berkenaan yang dihuni 342 orang lelaki dan 338 orang wanita.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 3.31 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan rumah panjang struktur tidak kekal yang musnah keseluruhan.
"Kesemua berjaya menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,pasukan Bomba melakukan pemadaman menggunakan dua pam angkut dua aliran empat nozel sumber air terbuka dan tangki simpanan penduduk.
"Pasukan Bomba membuat pemadaman dan membuat fire brake bagi mengelakkan api, merebak ke bangunan bersebelahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sambop.
"Setelah kebakaran berjaya dikawal pihak bomba melakukan overhaul di lokasi dan mendapatkan maklumat berkaitan," ujarnya.