Harga minyak masak dalam botol diwarta



KUALA LUMPUR—Kerajaan akan mewartakan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol, bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.


Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu diambil setelah rundingan untuk menurunkan harga minyak dengan pihak industri terbabit tidak efektif, walaupun harga minyak sawit dunia telah turun.


“Oleh kerana ia (penurunan harga) tidak berlaku, undang-undang sedia ada membolehkan kita mewartakan barangan keperluan tertentu dengan kaedah penentuan harga maksimum.


“KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) boleh ambil langkah-langkah pewartaan, supaya minyak masak akan mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali keenam Pasukan Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Annuar berkata penentuan harga maksimum tersebut dijangka akan dilaksanakan seminggu lagi.


Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata KPDNHEP akan menetapkan harga tersebut berdasarkan pelarasan bagi mengekalkan margin keuntungan tertentu dan memastikan tidak berlaku pengambilan untung berlebihan.


Terdahulu harga minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat, selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.


Sehubungan itu pengilang dan peniaga diminta untuk menurunkan harga minyak masak di dalam botol selaras dengan penurunan tersebut.


Bagaimanapun Annuar berkata, tinjauan ke dalam pasaran mendapati penurunan harga minyak masak tersebut agak perlahan.


“Kita dapati sebelum ini sewaktu minyak sawit naik peniaga telah naikkan harga mereka, apabila minyak masak turun, kita dapati penurunan harga agak perlahan, boleh saya katakan agak ‘liat’ untuk segerakan proses penurunan harga, walaupun mereka memberikan alasan masih menjual stok lama, tetapi kita rasakan alasan ini tidak adil,” katanya.


Justeru katanya kerajaan tidak boleh membiarkan industri berjalan dalam situasi yang tidak dikawal selia dengan baik, terutama setelah dua minggu ruang diberikan untuk pihak terbabit menurunkan harga.


“Ia memerlukan tanggungjawab dan kebersamaan. Soal kenaikan harga barang terutama yang membabitkan keperluan orang ramai jangan dipandang ringan, minyak masak sangat diperlukan seperti juga ayam, telur, beras dan sebagainya, oleh itu sebarang kenaikan harga tak boleh secara mengenakan margin keuntungan yang tinggi,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post