Harapkan rumah dikemas, duit dalam bank disapu bersih

Gambar hiasan

MELAKA—Seorang peniaga wanita kerugian RM4,700 apabila wang dalam akaun banknya lesap selepas beliau memuat turun pautan fail 'andriod package kit' (APK) untuk tempahan perkhidmatan pembersihan.


Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata dalam kejadian semalam, mangsa berusia 46 tahun itu tertarik dengan iklan yang menawarkan servis mengemas rumah berharga RM50 untuk lima jam menerusi laman sosial Facebook.


“Mangsa yang berasal dari Kuala Sungai Baru itu berurusan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Fiona dan telah diarahkan untuk muat turun aplikasi ‘shinecleanmaid’ melalui pautan yang diberikan oleh suspek untuk membuat tempahan itu.


“Wanita itu kemudiannya telah memuat turun aplikasi tersebut dan mengisi maklumat tempahan, maklumat akaun dan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM10,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Zainol berkata bagaimanapun transaksi pembayaran itu tidak berjaya dan mangsa diarahkan untuk membayar secara tunai selepas servis pembersihan dilakukan.


Katanya selepas 30 minit, mangsa menerima mesej daripada pihak bank memaklumkan terdapat pemindahan wang sebanyak RM4,700 dari akaun pengadu ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya dan dia telah menghubungi pihak bank sebelum dimaklumkan akaunnya dipercayai telah digodam.


“Mangsa membuat laporan semalam di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.


Zainol berkata setakat ini Kontinjen Melaka hanya menerima satu kes melibatkan modus operandi penggodaman fail tersebut dan menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran melalui laman sosial dan tidak mengisi butiran peribadi melalui pautan diberikan pihak tidak dikenali.


Katanya orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon pada laman web sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘semak mule CCID’.


“Sebagai langkah pencegahan orang ramai diminta tidak mudah percaya iklan di media sosial, jangan memuat turun dan memasang APK yang dihantar terus ke telefon oleh individu tidak dikenali dan keselamatan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon pintar hendaklah sentiasa dipelihara kerana ia akan menerima SMS OTP (kata laluan sekali guna) daripada aplikasi dipasang di telefon peribadi,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post