Empat sekeluarga maut, nahas babit kereta dan lori

Gambar media sosial

SARATOK--Empat sekeluarga maut dalam nahas membabitkan kereta dan lori di Kilometer 71, Jalan Sarikei/Betong, di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian jam 6.15 pagi mangsa yang maut dikenali Azwin Yusman,30, pemandu  yang juga pekerja Offshore Petronas, isteri Nadziran Mohd Nor, 28, serta dua anak mereka Hazreen Zharfan Azwin,4, dan Hazeef Zharfan Azwin,1.


Ketua Polis Daerah Saratok,DSP Mordani Tanin berkata,siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City yang dipandu datang dari arah Betong menuju ke arah Sarikei telah masuk ke laluan dipercayai hilang kawalan menyebabkan telah berlanggar dengan lori.


Menurutnya,pemandu lori seorang lelaki berusia 48 tahun tidak sempat mengelak. 


"Akibat perlanggaran, kedua-dua kenderaan terseret ke lorong bertentangan sehingga ke besi pembahagi jalan. 


"Pemandu dan kesemua penumpang  meninggal dunia ditempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan. 


"Impak kemalangan itu kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk.


"Kedua-dua kenderaan dibawa ke Kompleks Polis IPD Saratok untuk tujuan pemeriksaan PUSPAKOM," ujarnya.


Mordani berkata, mayat kesemua mangsa dibawa  ke hospital Saratok untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post