Dua rentung kemalangan van angkut diesel dalam tong
SIBU— Dua individu ditemukan rentung selepas van membawa muatan diesel terbabas merempuh sebatang pokok lalu terbakar di Jalan Salim Stabau, dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 5.10 pagi.
Gambar kredit Bomba |
“Sejurus menerima panggilan lima anggota dengan diketuai Komander Operasi (PKPgB) Suna Kaha bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan EMRS bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.
Sejurus tiba, didapati van tersebut mengalami kemalangan kendiri dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan sebelum terbakar sepenuhnya. Pasukan bomba melakukan size up dan didapati van itu membawa muatan minyak diesel dalam tong.
Anggota bomba dan polis berada di lokasi van terbakar yang menyebabkan dua individu rentung dalam kemalangan di Jalan Khong Yit Khim, pagi tadi. Gambar kredit Bomba |
Terdapat dua orang mangsa maut dan rentung serta tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang di hadapan. Pasukan bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika mengesahkan kemalangan memberitahu identiti kedua-dua mangsa setakat ini belum dikenal pasti.
Gambar kredit Bomba |
“Kemalangan berlaku ketika van yang dipandu oleh mangsa bersama seorang penumpang bergerak dari arah Jambatan Durin menuju ke arah pusat bandar Sibu.
“Sampai di lokasi, van tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pokok kemudian terbakar.
Bomba memadamkan kebakaran van yang terbabas menyebabkan dua individu rentung. Gambar kredit Bomba |
Akibat itu pemandu van dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia akibat rentung terbakar oleh pihak ambulan daripada Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pihak polis mash menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 41(I) Aka Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak Polis menasihatkan orang ramai agar memandu dengan berhati-hati bag menjaga keselamatan diri dan orang lain.