Dua remaja maut tercampak keluar dari kereta
Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian. Gambar kredit Bomba |
ISKANDAR PUTERI—Dua remaja maut selepas tercampak keluar dari kereta yang mereka naiki selepas kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata mangsa lelaki yang terkorban dikenali sebagai Lee Kah Lok, 19, ditemukan tersepit di bahagian bawah kereta manakala remaja perempuan, Ng Kui Ying, 15, ditemukan bersebelahan kenderaan.
"Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kereta jenis Honda Civic EJ itu dipercayai berpusing mengakibatkan pemandu lelaki dan remaja perempuan itu tercampak keluar dari kenderaan.
Beliau berkata pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat 'air lifting bag' sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mohd Khairi berkata Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.23 tengah malam dan sebuah jentera dari BBP Iskandar Puteri dengan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi tamat sepenuhnya pada 1.37 pagi, katanya.
-- BERNAMA