CEO antara tiga ditahan SPRM disyaki terima rasuah RM24 juta
PUTRAJAYA—Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
Sumber memberitahu suspek wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu bersama dua lagi suspek lelaki berusia antara 53 hingga 58 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang tadi di ibu pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank pada sekitar tahun 2010.
“Suspek lelaki berusia 53 tahun itu pula yang kini bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya tidak bekerja,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya.