Budak perempuan dipercayai sesat di hutan atau jatuh sungai

Gambar hiasan kredit Rendy Novantino via unsplash

KOTA KINABALU— Seorang kanak-kanak perempuan berusia18 bulan dikhuatiri sesat di hutan atau jatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 66, Beaufort, hari ini.


Mangsa disedari tiada di rumah kira-kira jam 8.30 pagi oleh neneknya apabila mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka.


Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tengah hari tadi selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam l 11.19 pagi.


“Ibu bapa mangsa pada ketika itu sedang berniaga di Tamu Beaufort dan mangsa dijaga oleh neneknya.


“Operasi SAR dijalankan dengan menyusuri tepi sungai, kawasan tanaman pokok pisang dan belukar kelapa sawit dengan radius dua kilometer dari pusat kawalan bomba,” menurut kenyataan itu.


Bomba turut memaklumkan pakaian terakhir dipakai oleh mangsa adalah baju berwarna putih dengan lambang animasi kartun dan berseluar warna biru tua.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post