Bercinta, bergumbira, bina kerjaya baharu masuk politik, Karim
KUCHING, 25 Julai: Golongan muda di Sarawak dinasihatkan tidak terlalu tergesa-gesa menceburi politik dan menjadi calon pilihan raya selepas had umur mengundi di negara diturunkan kepada 18 tahun.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana golongan itu terbabit dikhuatirinya akan terlepas menikmati kehidupan ini sekiranya terlalu awal menceburi politik dan menjadi calon itu.
"Ramai mungkin tidak setuju dengan saya tetapi secara peribadi saya melihat jangan tergesa-gesa menceburi politik. Nikmati kehidupan, kalau kamu lelaki muda, jatuh cinta, pergi cari teman, bina kerjaya dan keluarga dan kemudian baharulah ceburi politik," katanya ketika mengadakan sidang media kadar bayaran tiket kemasukan dan pengunaan fasiliti Borneo Cultures Museum, di sini, hari ini.
Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pada pandangannya juga hanya sudah mencapai usia hujung 30 atau 40 tahun baharulah mereka sesuai menjadi calon bagi bertanding pilihan raya.
"Kamu mengadakan parti itu ( parti bagi golongan muda), golongan yang lebih tua juga mungkin tidak undi kamu," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan yang sebuah parti baharu mewakili anak muda di Sarawak bakal ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini didedahkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Jocky Jim.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama parti itu dan kini dalam proses pendaftarannya.