Bayaran masuk tiket Muzium Budaya Borneo mulai 1 Ogos

Abdul Karim menunjukkan tiket masuk Muzium Budaya Borneo

KUCHING—Muzium Budaya Borneo (BCM) akan mengenakan harga tiket masuk harian bermula dari harga RM5 sehingga RM20 bagi pengunjung warganegara mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


Beliau berkata bayaran penggunaan fasiliti seperti auditorium dan bilik serba guna akan turut dikenakan dan cadangan untuk bayaran berkenaan adalah bagi menampung sebahagian daripada kos penyelenggaraan muzium itu. 


Harga tiket masuk harian Muzium Budaya Borneo bermula 1 Ogos ini.


“Untuk orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiket adalah percuma dan pengunjung OKU (berdokumen) dari luar negara juga percuma. Percuma juga buat pengunjung warganegara Malaysia berumur 12 tahun dan ke bawah. 


“Sebanyak RM20 dikenakan bagi warganegara Malaysia bukan dari Sarawak dan RM10 dikenakan bagi dewasa berumur 18 hingga 60 tahun yang berasal dari Sarawak dan bukan warganegara pula RM50. Tiket pengunjung berusia 13 hingga 17 tahun dan mereka yang memiliki kad pelajar dari mana-mana institusi pengajian ialah RM5 bagi warganegara dan RM25 bagi bukan warganegara,” katanya. 


Beliau berkata demikian dalam sidang media di BCM di sini, hari ini.


Abdul Karim berkata kategori berkumpulan seramai 10 orang ke atas atau kadar korporat berdaftar pula, bayaran bermula dari harga RM8 seorang, manakala tiket bagi lawatan tanpa had tahunan pula berharga RM100 bagi semua pengunjung.


Katanya harga tiket bagi warga emas berumur 61 tahun ke atas adalah RM5 bagi warga Sarawak, RM20 (bukan warga Sarawak) dan RM25 (antarabangsa).


Menurutnya kadar bayaran penggunaan fasiliti BCM adalah bermula dari RM100 untuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, manakala RM200 bagi korporat.


Dalam pada itu, beliau berkata muzium ikonik serba baharu yang mula dibuka 9 Mac lepas menarik seramai 350,000 pengunjung tempatan dan luar setakat bulan ini, dengan anggaran 1,500 pengunjung sehari.


Abdul Karim turut memaklumkan sebuah muzium baharu di Limbang yang terletak di utara Sarawak bakal dirasmikan 4 Ogos ini.

 

-- BERNAMA

Next Post Previous Post