Ambil kira kepentingan semua pihak sebelum tetapkan harga siling ayam, Nanta
SHAH ALAM—Kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya penternak, peniaga dan pengguna sebelum menetapkan harga siling baharu ayam RM9.40 sekilogram berkuat kuasa hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penetapan harga itu dibuat selepas perjumpaan dengan pelbagai pihak khususnya pemain industri selain pengiraan margin penjualan ayam oleh kementerian.
Beliau berkata usaha itu bagi memastikan penternak dan peniaga masih meraih keuntungan manakala pengguna mampu mendapat harga ayam yang berpatutan.
"Sebelum ke sini (Pasar raya Checkers), saya buat lawatan sebentar ke Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam berjumpa dengan peniaga ayam. Saya tanya peniaga di sana mengenai harga baharu siling ayam dan majoriti mereka berpuas hati dengan harga siling kali ini.
"Mereka mengatakan tiada keperluan lagi untuk mengenakan caj potong bagi meraih keuntungan daripada jualan ayam mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang di Pasar raya Checkers, Seksyen 15, di sini hari ini.
Nanta berkata walaupun tidak semua peniaga berpuas hati dengan harga siling baharu, keputusan itu perlu dibuat bagi melindungi semua pihak di samping menjamin bekalan rantaian ayam pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Nanta menegaskan pihak penjual dan peniaga ayam perlu mempamerkan tanda harga caj tambahan upah memotong ayam supaya pengguna diberi pilihan sama ada untuk menggunakan khidmat itu atau tidak.
“Kalau peniaga kenakan caj (tambahan potong ayam) mereka sepatutnya mempamerkan (tanda harga) untuk pengguna tahu mereka akan dikenakan caj itu.
“Tapi kita nasihatkan janganlah caj dengan harga tidak berpatutan. Kalau ada aduan (caj potongan atau caj melampau) diterima dan bila kita siasat caj itu tidak berpatutan, kita akan ambil tindakan. Kita ada peraturan dan undang-undang untuk menangani masalah ini,” katanya.
Nanta berkata kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik supaya bekalan barangan bersubsidi seperti ayam dan minyak masak peket satu kilogram hanya dinikmati rakyat negara ini terutama golongan sasar dan memerlukan.
-- BERNAMA