YB Sarawak boleh ‘ngabas’ kawasan sekolah

Datuk Mohamad Alamin (tengah) bersama Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang (kiri) menanam pokok sempena majlis perasmian dua blok bangunan sekolah SK Anchi yang telah siap


MIRI—Wakil Rakyat (YB) di Sarawak kini sudah dibolehkan memasuki kawasan sekolah.


Perkara ini dijelaskan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin pada Selasa semasa merasmikan dua blok bangunan sekolah di Sekolah Kebangsaan Anchi di Piasau.


"Larangan itu sudah ditarik balik baru-baru ini semasa mesyuarat kementerian (Kementarian Pendidikan Malaysia atau KPM)," ujarnya.


Kita mengalu -alukan wakil -wakil rakyat di negeri ini datang dan memberikan sumbangan bagi membantu pihak sekolah demi kesejahteraan murid,"katanya.


Mengulas lanjut mengenai larangan tersebut, katanya, pihak KPM bukan melarang, namun disebabkan situasi COVID-19 pada waktu itu, pihaknya tidak mahu meletakkan para pelajar dan guru berisiko dengan jangkitan virus tersebut.


Semasa sesi lawatan kerjanya pada hari ini,  Mohamad Alamin telah melancarkan pembukaan dua blok bangunan di SK Anchi yang menelan ongkos sebanyak RM6.5 juta.


Pembinaan kedua-dua blok bangunan ini telah dimulakan pada 4 Jun tahun 2020, dan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan.


Ia terdiri daripada sebuah blok bangunan menempatkan bilik darjah empat tingkat dan bangunan prasekolah yang lengkap dengan 'built-in' perabot.


Projek tersebut telah dilaksanakan dibawah peruntukan RM1 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi membantu membaiki sekolah daif di negeri ini.


Untuk rekod, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah mendapatkan pendidikan awal di SK Anchi di Piasau ini.


Sementara itu, Mohamad Alamin berkata, setakat hari ini, bagi fasa satu, sebanyak 41 projek membabitkan pembaikan sekolah-sekolah daif di Sarawak  telah diluluskan dengan kos sebanyak RM350 juta.


 "Lapan projek telah siap, manakala 31 sedang dalam proses pembinaan dan baki dua lagi dalam peringkat awal pembinaannya," katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dan Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad.

Next Post Previous Post