Warga emas hilang 4 hari ditemui selamat
Warga emas yang hilang sejak empat hari lalu ditemui di belakang kawasan perumahan Golden HIll pada jarak 300 meter dari pos kawalan Bomba.Gambar kredit Bomba |
MARUDI—Seorang warga emas, Lah Ajang, 83, yang dilaporkan hilang pada malam Rabu (8 Jun), ditemui selamat pagi tadi selepas empat hari hilang.
Lah Ajang dilaporkan hilang semasa berada di pagar pintu masuk kediamannya di Golden Hill, Marudi pada pagi Rabu.
Mangsa ditemui sekitar jam 10.15 dalam keadaan terbaring di atas tanah paya. Gambar kredit Bomba |
Seramai 70 anggota terdiri daripada Bomba Marudi, Polis dan orang ramai menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Pemangku Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata, kumpulan mencari dan menyelamat pada hari keempat SAR dibahagikan kepada tiga zon (Zone A, B dan C).
"Mangsa ditemui anggota kumpulan SAR 'A' sekitar jam 10.15 pagi tadi di belakang kawasan perumahan Golden Hill pada jarak 300 meter dari pos kawalan Bomba (PKB) dalam keadaan terbaring di atas tanah paya," ujarnya.
Tambahnya, mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah telah diserahkan kepada pihak Hospital Marudi untuk mendapatkan rawatan lanjut.