Wanita Sarawak Sama Pacu PCDS 2030


KUCHING--Wanita Sarawak mempunyai keupayaan dan potensi untuk sama-sama memacu setiap usaha untuk merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan juga berkecekapan untuk mengurus pertumbuhan ekonomi, dan menangani cabaran masa depan. 


Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata,kualiti dan kuantiti sumbangan golongan wanita masih boleh dipertingkatkan lagi sekiranya isu keterangkuman, ketidaksaksamaan dan ekuiti antara gender dapat ditangani secara sedar dan terancang  dan dengan penuh bijaksana pada kadar yang segera. 


Menurutnya,Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih, Malaysia 2021, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa dalam Sub-indeks Pencapaian Pendidikan, pencapaian wanita telah melebihi lelaki dengan skor 1.059. 


"Untuk Sarawak, pencapaian wanita dalam pendidikan juga mencatat skor yang lebih tinggi daripada lelaki iaitu 1.071, di mana skor 1.0 menunjukkan aras pencapaian kesaksamaan (peluang dan penyertaan) antara wanita dan lelaki. 


"Keadaan yang baik ini hendaklah dijadikan kekuatan yang perlu dijadikan aset menerusi peimbangan dalam bidang jurusan pengajian yang dipilih supaya mampu meningkatkan peluang kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo, di sini hari ini.


Katanya,Domain Politik, Ekonomi dan Kesihatan Dalam domain terpilih yang lain – politik, ekonomi dan kesihatan – statistik yang dilaporkan menunjukkan bahawa masih terdapat jurang pencapaian dalam kalangan wanita berbanding lelaki di Sarawak - dalam domain penguasaan politik, iaitu sekitar skor 0.120; domain peluang dan penyertaan ekonomi merekodkan skor 0.714; manakala domain kesihatan dan kehidupan merekodkan skor 0.947.


"Menyedari masih terdapat jurang kesaksamaan yang besar dalam domain penguasaan politik dan domain peluang dan penyertaan ekonomi, kami Pergerakan Wanita menggesa Kerajaan mengambil langkah konkrit untuk merapatkan jurang tersebut. 


"Usaha ini penting bagi memastikan wanita terlibat secara aktif dan dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak," ujarnya.


Beliau berkata,sesuai dengan cabaran baharu dan keperluan menjadikan Pergerakan Wanita PBB lebih relevan dengan perjuangan serta agenda pembangunan semasa, Pergerakan Wanita PBB telah mencadangkan pindaan Perlembagaan dan Peraturan Pergerakan Wanita PBB.


 "Artikel 14, agar tidak kurang daripada lima orang ahli MT INDUK hendaklah dilantik daripada kalangan ahli Majlis Tertinggi Wanita mengikut turutan struktur hieraki MTW dan ini tidak termasuk lantikan Ketua Wanita sebagai Naib Yang Di Pertua secara automatik di bawah perlembagaan sedia ada. 


"Bilangan ini juga tidak termasuk wanita yang menjadi ahli MT melalui kemenangan dalam pemilihan MT.Juga dicadangkan agar pindaan dan penambahbaikan kepada Artikel 23 Perlembagaan Parti dibuat bagi mencerminkan peranan Pergerakan Wanita turut merangkumi bidang politik, kepimpinan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, digital, budaya dan sosial," ujarnya.


Fatimah berkata,Pergerakan Wanita mahu lebih ramai wanita muda yang berumur antara 29 – 40 tahun (iaitu mereka yang tidak lagi layak untuk bersama Pergerakan Belia PBB) untuk menyertai PWPBB. 


"Sehubungan itu, kami mencadangkan agar Perlembagaan PWPBB dipinda bagi membolehkan wanita muda berada dalam kedudukan kepimpinan penting  dengan mewajibkan tempat bagi mereka di peringkat MTW tidak kurang daripada empat anggota wanita muda, di peringkat Cawangan dan Ranting masing-masing tidak kurang dari dua anggota.  

 

"Selari dengan aspirasi keterangkuman, Pergerakan Wanita PBB juga menyarankan agar lebih ramai lagi wanita dipilih untuk menjadi calon PBB dalam Pilihan Raya peringkat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat (ADUN 2022 - 4/82 & MP 2018 - 4/31); dilantik sebagai Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, Kaunselor, dan berbagai jawatan lain di peringkat membuat keputusan dalam perkhidmatan awam," katanya.

Next Post Previous Post