Wanita maut, motosikal dilanggar kereta ketika cuba elak bas berhenti tepi jalan
Mangsa cuba mengelak bas yang berhenti di tepi jalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan dilanggar sebuah kereta. |
KOTA SAMARAHAN—Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 13, Jalan Kota Samarahan-Mambong di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata mangsa dikenali Vong Suh Eng, 23, beralamat dari Kampung Sebangkoi, Serian, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 7.30 pagi tadi melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta yang dipandu seorang individu berusia 55 tahun.
"Kemalangan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal bergerak dari arah Batu 15, Siburan menuju ke arah Kota Samarahan.
"Semasa mangsa bergerak lurus dan mengelak sebuah bas yang berhenti di hadapan tiba-tiba mangsa terus jatuh kemudian masuk ke lorong bertentangan dan dilanggar oleh sebuah kereta yang sedang bergerak lurus datang dari arah Kota Samarahan hendak menuju ke arah Batu 15 Siburan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Bingkok, akibat kemalangan itu, penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh pihak paramedik disebabkan kecederaan di bahagian kepala.
"Motosikal mangsa rosak di bahagian sisi kiri dan kereta terbabit rosak pada bahagian bumper hadapan kanan," tambahnya.
Katanya lagi, keadaan cuaca pada masa kejadian adalah hujan renyai-renyai dan jalan basah.
Tegas beliau, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.