Wanita KEADILAN bantah tarian berunsur seksual sambutan Hari Gawai
Aksi penari-penari yang berunsur seksual semasa majlis sambutan Hari Gawai di Sibu, 11 Jun lalu. |
Itu antara pandangan dilontarakan orang ramai berhubung persembahan tarian berunsur seksual yang disajikan pada Majlis Sambutan Hari Gawai yang diadakan di Sibu, 11 Jun lalu.
Dalam video berdurasi 2 minit 51 saat yang tular di laman Facebook baru-baru ini, sekumpulan penari mengenakan pakaian separuh bogel dan agak seksi di salah sebuah acara majlis dihadiri pemimpin-pemimpin parti pemerintah Sarawak.
Tarian menggiurkan beberapa wanita seksi berkrnaan dianggap tidak sesuai untuk dipersembahan dalam acara sempena sambutan Hari Gawai meskipun dalam majlis itu turut mempersembahkan tarian ngajat, miring, bertaboh, poco-poco dan karaoke.
Malah, Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak turut terkilan dan membantah sekeras-kerasnya persembahan tarian berunsur seksual yang disajikan pada majlis tersebut.
Menurut Wanita KEADILAN dalam satu kenyataan baru-baru ini, tarian berunsur menghairahkan dan mengeksploitasi golongan wanita tidak wajar dipersembahkan pada majlis perayaan Hari Gawai.
Kata kenyataan itu, pihak pengajur dan Kerajaan Negeri seharusnya menghormati martabat wanita bukan merendahkan mereka sebagai objek seksual untuk menghibur penonton.
"Wanita KEADILAN Sarawak mengambil maklum sebuah video tular di media sosial dan aplikasi ‘Whatsapp’ video bertarikh 11 Jun 2022 memaparkan anak gadis menari berpakaian separuh bogel dengan gaya yang tidak sopan dan berunsur seksual di majlis tersebut.
"Wanita KEADILAN Sarawak terkilan dan membantah sekerasnya keputusan pihak penganjur menyajikan persembahan sedemikan yang tiada kaitan dengan budaya Dayak di majlis Sambutan Hari Gawai Dayak 2022.
"Tindakan pihak penganjur tidak menghormati kaum wanita kerana menjadikan wanita sebagai objek hiburan kaum lelaki," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, majlis tersebut dianjurkan oleh Parti Demokratik Progresif (PDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah.
Majlis yang turut dihadiri oleh Duta Khas Perdana Menteri Malaysia- China, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee sepatutnya dihiasi tarian kebudayaan dan acara merapatkan hubungan antara kaum.
"Disebabkan itu, Wanita KEADILAN kesal kerana pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir tidak menegur dan menghentikan tarian berunsur seksual tersebut.
"Kami kesal dengan tindakan penganjur yang tidak sensitif dengan budaya dan adat kaum Dayak, khususnya di Sarawak.
"Di mana kedua-dua jemputan kenamaan yang hadir adalah berasal dari Sarawak. Ini adalah satu penghinaan dan merendahkan martabah kaum hawa sekaligus mencemarkan tradisi adat komuniti Dayak dan menjadikan wanita objek seksual.
Justeru kata kenyataan itu, semua Ketua Wanita Cabang KEADILAN Sarawak sebulat suara menyeru penganjur dan pemimpin negeri ini untuk menghentikan objektifikasi terhadap wanita dan hentikan tarian berunsur seksual di acara rasmi perayaan Gawai atau pun perayaan lain.
Objektifikasi dan seksualisasi kanak-kanak perempuan serta wanita hanya akan mengundang tarikan negatif dan menjurus kepada keganasan terhadap wanita juga kanak-kanak perempuan, katanya.
Mereka turut menggesa agar peristiwa tersebut tidak berulang di mana mana bahagian Sarawak dalam menyambut sebarang pesta pada masa hadapan.
"Anak gadis harus ditampilkan dengan adab tatasusila kesopanan sejajar dengan budaya Malaysia.
"Penganjur dan Kerajaan GPS harus menghormati dan menjaga martabat wanita serta peka dengan sensitiviti perayaan. Juga menghormati adab dan tradisi kaum Dayak," tegas mereka.