Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

Keadaan kereta mangsa yang terlibat kemalangan di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di sini, malam tadi. Gambar kredit Facebook

TELUK INTAN—Tiga sahabat lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di sini, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata kejadian pada pukul 9.40 malam itu dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis yang melibatkan mangsa lima sahabat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun yang menaiki kereta Volkswagen.


"Pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang penumpang berumur 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu lori tangki minyak itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Volkswagen itu dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.


Menurutnya kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post