Tiga parah lori bertembung pikap
MIRI--Tiga dilaporkan cedera setelah kenderaan pacuan empat roda (4X4WD) yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan buah sawit di KM 20 Jalan Miri-Marudi petang Isnin.
Lima anggota Bomba dari Balai Penyelamat Marudi telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan kejadian pada jam 1.59 petang Isnin bagi membantu mengeluarkan salah seorang daripada penumpang 4WD yang terperangkap di dalam kenderaan tersebut.
Menurut pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee, operasi tamat sekitar jam 3.12 petang.
Kesemua mangsa berusia 17, 46 dan 58 itu telah dibawa ke Hospital Miri bagi menerima rawatan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, lori yang penuh dengan muatan buah sawit itu datang dari arah Miri menuju Marudi sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda terbabit.