Tidak mahu bergantung pada Zii Jia, BAM komited lahir jaguh perseorangan lelaki
Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria (kanan) menyampaikan hadiah kepada juara Kejohanan Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Izad Rushdi Paiza. Gambar kredit Olympic Council of Malaysia |
Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ia menjadi tanggungjawab pengarah kejurulatihan perseorangan BAM Wong Choong Hann untuk terus membangunkan bakat-bakat baharu yang mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan bertaraf dunia.
Pada masa sama, beliau berharap semua pihak memahami situasi itu dan bekerja rapat untuk melahirkan lebih banyak pemain perseorangan yang berkaliber.
“Ia adalah usaha yang berterusan. Choong Hann tahu tanggungjawab beliau dan kita bukan sahaja ketandusan dari segi pemain lelaki tetapi juga wanita dan ini harus diselesaikan segera.
“Saya rasa kita nampak dari segi beregu lelaki mereka menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah sudah mencapai ranking 10 teratas dunia.
“Jadi seharusnya perseorangan lelaki dan wanita perlu cepat melangkah supaya mereka tidak ketinggalan," katanya kepada pemberita di Kelab Sukan Ekuestrian STC di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun Zii Jia, yang menduduki ranking kelima dunia itu berada pada tahap terbaik, namun Malaysia tidak harus bergantung kepada satu pemain sahaja untuk membawa kecemerlangan di arena global.
Mohamad Norza turut meminta peminat sukan badminton tanah air untuk memberikan masa dan ruang kepada pemain seperti Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, untuk mereka memperbaiki corak permainan serta lebih konsisten, sekali gus melakar kejayaan pada kejuaraan antarabangsa.
"Kita juga ada pemain profesional seperti Cheam June Wei, Soong Joo Ven yang perlu mempergiatkan usaha mereka supaya Zii Jia tidak keseorangan di peringkat tertinggi, jadi kita mesti bekerja kuat," tambahnya.
Tze Yong yang menduduki ranking ke-48 dunia merupakan pemain utama dalam BAM selepas Zii Jia meninggalkan badan itu Januari lepas untuk menjadi pemain profesional.
Terdahulu, Mohamad Norza menyampaikan hadiah kepada pemenang Kelas SJ12 acara show jumping dalam Kejohanan Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Izad Rushdi Paiza dari pasukan Penawar Learning Centre muncul juara, manakala Abdul Hariz Abd Majid dari pasukan State Terengganu Equestrian Team (STET) dan Amira Syahirah Mohd Zulkefli dari pasukan Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP), masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
-- BERNAMA