Tercampak keluar kenderaan, seorang maut, kemalangan di Jalan Tebedu
Pemandu Isuzu Dmax maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Tebedu. |
SERIAN-- Seorang lelaki warga emas maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya setelah terlibat kemalangan di Jalan Tebedu berdekatan Kampung Pichin di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Bernard Lohin, 63 tahun disahkan meninggal dunia di tempat oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.52 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah 4WD jenis Isuzu Dmax yang telah bertembung dengan sebuah motosikal.
"Seorang mangsa iaitu pemandu Isuzu Dmax telah tercampak keluar dari kenderaan tersebut dan telah disahkan meninggal oleh pihak KKM yang berada ditempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi manakala penunggang motosikal, 62, mengalami kecederaan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak KKM.
Tambahnya, mangsa kemudian telah ke hospital untuk tindakan seterusnya.
" Pasukan bomba yang tiba membantu mengangkat mangsa yang meninggal dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Pasukan turut melakukan kerja-kerja pembersihan permukaan jalan raya akibat kemalangan tersebut," ujarnya.
Kes masih dalam siasatan polis.