Terbuka Malaysia setanding All England mulai tahun depan

Terbuka Malaysia setanding All England mulai tahun depan

KUALA LUMPUR—Terbuka Malaysia adalah antara kejohanan peringkat teratas dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mulai  tahun depan hingga 2026.


BWF mengumumkan bahawa status Terbuka Malaysia telah dinaik taraf daripada Jelajah Dunia Super 750 kepada Super 1000, sekali gus menyertai  kelab elit seperti Kejohanan All England, Terbuka China dan Indonesia.


Selain itu, Terbuka India dan Singapura kini telah dinaikkan kepada status Super 750, manakala tuan rumah Super 750 sedia ada dari China, Denmark, Perancis, dan Jepun telah mengekalkan status masing-masing.


Australia, Kanada, Finland telah tersenarai sebagai kejohanan jelajah Super 500 dan tuan rumah baharu, Jepun sebaris dengan status kejohanan di Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia (Masters) dan Thailand.


Walau bagaimanapun, hos untuk Pertandingan Akhir Jelajah Dunia BWF akhir musim hanya akan diumumkan kemudian, manakala hos Super 100 akan diumumkan secara berasingan.


Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata, pengumuman itu merangkumi proses pembidaan menarik yang menyaksikan minat yang sihat daripada semua pembida hos dan percaya ia akan meningkatkan status badminton di peringkat global.


Badminton adalah salah satu sukan yang paling pesat berkembang di dunia dengan penyertaan tinggi sepanjang masa dan bilangan peminat. Lebih banyak kejohanan memberi kami peluang yang hebat untuk meningkatkan jangkauan sukan di seluruh dunia, bukan sahaja di wilayah yang sudah sedia, tetapi juga ke kawasan baharu.


“Kami amat digalakkan dengan penerimaan sejumlah besar bidaan berkualiti tinggi dan itu menjadi petanda untuk siri jelajah yang lebih besar dan lebih baik dalam tempoh empat tahun akan datang. Ia membolehkan lebih ramai pemain sertai kejohanan elit dan memperoleh pengalaman berharga.


“Is membolehkan kami dapat memberi kepastian terhadap hadiah wang yang lebih menarik, liputan lebih luas di televisyen dan dalam talian. Ini semua menyumbangkan kepada pencarian produk sukan yang bertaraf dunia yang diusahakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terbuka Malaysia dianjurkan sejak 1937 diberikan status Super 750 sejak 2018.


Selepas ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19, Terbuka Malaysia kembali semula tahun ini dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti Malaysia Masters dari 5 hingga 10 Julai di Axiata Arena.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post