Tampal bot bocor guna kain, span tilam selamatkan diri
Sebahagian mangsa yang terselamat dalam kejadian bot hampir karam malam tadi. |
KUCHING— Tindakan pantas tekong bot dengan menampal bahagian bot yang tiba-tiba bocor menggunakan kain dan span tilam menyelamatkan 12 mangsa termasuk seorang kru dan 10 pemancing daripada lemas selepas bot mereka hampir karam di kedudukan 14 batu nautika barat laut Pulau Satang, malam tadi.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tekong itu kemudian membuat panggilan kecemasan untuk memohon bantuan menggunakan radio VHF.
“Tekong tersebut melakukan usaha yang terbaik sementara menunggu diselamatkan. Bot pertama yang tiba untuk memberi bantuan adalah bot tempatan dari Semariang.
Bot yang digunakan 12 mangsa mengalami kebocoran dan hampir karam di kedudukan 14 batu nautika barat laut Pulau Satang, malam tadi. |
Bot serta 12 mangsa selamat tiba di Jeti Sarawak Boat Club pada jam 1.40 pagi tadi dan semua mangsa dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut tekong tersebut, cuaca di lokasi memancing berubah dengan ketinggian ombak mencapai tiga meter menyebabkan bot telah dibadai cuaca buruk dan laut bergelora.
Zin Azman menambah, bot mengalami kebocoran pada bahagian bawah sebelah kanan dan punca kebocoran tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, beliau berkata Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 8.00 malam semalam selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.20 malam.
Katanya, bot tersebut keluar ke laut sekitar jam 1.00 petang semalam dari Jeti Sarawak Boat Club menuju ke kawasan perairan Lundu.
“Sejurus menerima laporan tersebut, MRSC Kuching telah mengatur gerak Bot KILAT 22 ke lokasi kejadian serta memaklumkan kejadian berkenaan kepada agensi sahabat.
Sekitar jam 9.20 malam semalam, Pasukan Polis Marin turut telah mengatur gerak dua aset, PSC 11 dan RH23 ke lokasi kejadian.
Keadaan cuaca yang berangin dengan kelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam serta keadaan laut bergelora menyukarkan pencarian,” katanya.
Sekitar jam 12.20 malam, MRSC Kuching berjaya menghubungi tekong melalui radio VHF dan dimaklumkan bot telah selamat serta sedang menuju ke Jeti Sarawak Boat Club diiringi oleh bot PSC 11 dan RH23.
Katanya, hasil pemeriksaan peralatan keselamatan mendapati bot memiliki 14 jaket keselamatan dan empat pelampung keselamatan pada bot.
MRSC Kuching telah menamatkan OP CARILAMAT pada jam 1.40 pagi setelah semua mangsa dilaporkan selamat dan Maritim Malaysia merakamkan ribuan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak serta orang awam yang telah terlibat secara langsung dalam operasi menyelamat pada awal pagi tadi.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan.