Syarikat konsesi salur bekalan elektrik kepada setinggan

Hampir 200 kawasan setinggan wujud di Sabah dan Labuan. Gambar kredit Roslan Alias

LABUAN—Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Suruhanjaya Tenaga bersetuju melantik syarikat konsesi untuk menyalurkan bekalan elektrik di kawasan setinggan di Sabah dan Labuan.


Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata pendekatan baharu itu akan membantu menyelesaikan isu kecurian kuasa yang telah lama berlarutan di kawasan setinggan.



“Ini merupakan pendekatan baharu yang dipersetujui oleh SESB, KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga untuk menyelesaikan kecurian kuasa yang berleluasa di kawasan setinggan.


“Kami akan melantik syarikat konsesi untuk menyalurkan bekalan elektrik di kawasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini. 


Mohd Yaakob berkata hampir 200 kawasan setinggan wujud di Sabah dan Labuan.


Beliau berkata projek perintis itu akan dimulakan di Sandakan, Sabah tahun ini sebelum diperluaskan ke Telipok, Kinarut dan Labuan.


“Kami akan cuba sedaya upaya meliputi semua kawasan setinggan di Sabah terutamanya yang diwartakan di bawah Skim Penempatan Komuniti Pelarian,” katanya. 


Sementara itu, Mohd Yaakob berkata masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap akan diselesaikan melalui sistem automasi.


“Setiap kali berlaku gangguan elektrik, sistem automasi ini akan menyambung secara automatik dan ini dilaksanakan di Sabah dan Labuan,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post