Suami isteri ditahan, godam e-mel perniagaan
Datuk Kamarudin Md Din menunjukkan barangan yang dirampas dipercayai berkait dengan penipuan yang dijalankan. Gambar kredit PDRM |
KUALA LUMPUR— Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat pencerobohan e-mel perniagaan atau ‘business email compromise’ (BEC) berjumlah RM3.9 juta melibatkan mangsa di sebuah syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata suspek wanita warga tempatan berusia 41 dan pasangannya warga Nigeria, 43 tahun, ditahan di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih, dekat sini, semalam.
“Suspek telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warga UAE di Dubai melibatkan kerugian berjumlah RM3,907,308.86, yang sebelum itu mangsa telah berurusan dengan syarikat Oyak Cimento Fabrikalari di Amerika Syarikat melalui e-mel, untuk pembelian simen.
“Bagaimanapun, polis percaya suspek telah menggodam e-mel syarikat mangsa untuk melihat urusan perniagaan yang dibuat, terutamanya yang membabitkan transaksi,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian menerima e-mel daripada bbenli@yakciment.com oleh suspek yang mempunyai sedikit perbezaan daripada alamat e-mel syarikat di AS, sewaktu perbincangan bersama mangsa.
“Suspek menghantar e-mel kepada mangsa mengarahkan transaksi dibuat ke akaun milik syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia. Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang barangan selepas transaksi dibuat,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata pengadu melalui wakil di Malaysia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, pada 8 Jun lepas.
Menurutnya, polis merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, Proton Exora, enam buah telefon bimbit, dua utas jam tangan, dua buah komputer riba, 10 unit cop, sejumlah barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain dipercayai berkait dengan penipuan yang dijalankan.
Beliau berkata hasil tangkapan, polis telah membeku RM1.8 juta dari akaun suspek dipercayai hasil penipuan ke atas mangsa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan baki wang yang dilesapkan suspek.
Mohd Kamarudin mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel daripada mana-mana pihak, yang mendakwa pernah berurus niaga dengan mereka.
“Jika ada e-mel yang meminta untuk membuat transaksi ke akaun lain daripada yang lazim diguna pakai, sila buat pengesahan melalui medium lain seperti panggilan telefon dan lain-lain,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sehingga 17 Jun, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, beliau berkata 57 kes penipuan BEC telah dicatatkan melibatkan jumlah kerugian RM49 juta pada tahun 2021 dan bagi tempoh Januari hingga 13 Jun, 23 kes telah dicatatkan dengan jumlah kerugian RM15.1 juta.
-- BERNAMA