Skuad Muay Thai negara gondol empat emas di UAE
Aksi peserta pada Kejohanan Senior Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Gambar tangkap layar kredit IFMA |
KUALA LUMPUR—Skuad Muay Thai kebangsaan berjaya membawa pulang empat pingat emas pada Kejohanan Senior Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kejohanan yang berlangsung di Abu Dhabi National Exhibition Centre dari 26 Mei hingga hari ini itu menyaksikan Malaysia meraih emas pertama menerusi wakil wanita, Damia Husna Azian yang menumpaskan Fereshteh Hassanzadeh Mirsadeghi dari Iran, 29-28 bagi kategori 42-45 kilogram (kg) “special fight”.
Mohammad Rifdean Masdor kemudian menewaskan Asror Karimov dari Uzbekistan 29-28 dalam kategori 48 kilogram (kg) lelaki bawah 23 tahun untuk emas kedua negara.
Kemaraan Malaysia diteruskan Muhammad Hairie Mahmad yang mengalahkan wakil tuan rumah, Ahmed Aldhaheri 29-28 bagi kategori 45kg lelaki bawah 23 tahun, diikuti emas keempat oleh Ahmad Nor Iman Aliff Rakib selepas mengatasi atlet Iran, 30-26, Mehrdad Khanzadeh Gharehtapeh dalam kategori 54kg lelaki bawah 23 tahun.
Selain empat emas, pasukan negara turut merangkul satu perak dan satu gangsa dalam kejohanan tersebut.
Nur Amisha Azrilrizal membawa pulang pingat menerusi perak selepas tumpas kepada juara dari Thailand, Thanittha Plenjit, bagi kategori 51kg wanita bawah 23 tahun.
Pingat gangsa negara pula diperoleh Mohamad Farith Ab Razak yang menyertai kategori 48kg lelaki senior elit.
-- BERNAMA