Seorang maut, tiga cedera kereta bertembung
Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Beladin Sepinang, Kampung Tengah Beladin di sini petang tadi. Gambar Bomba Saratok |
SARATOK—Seorang lelaki maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Beladin Sepinang, Kampung Tengah Beladin di sini petang tadi.
Dalam nahas yang berlaku pada jam 4.10 petang itu, lelaki berusia 52 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira maut di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
Komander Operasi, PBK II Yusuf Tamin berkata, isteri mangsa yang berusia 43 tahun yang menumpang kereta pula cedera.
Keadaan kereta mangsa yang terlibat kemalangan. Gambar Bomba Saratok |
"Kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan dua buah kenderaan bertembung dari arah bertentangan iaitu Perodua Myvi yang menuju ke Maludam manakala Proton Wira yang menuju ke Beladin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusuf, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok kemudian bertindak mengeluarkan lelaki yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun katanya, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu kata Yusuf, akibat kemalangan tersebut, sepasang suami isteri masing-masing berusia 59 dan 53 tahun yang menggunakan kenderaan Perodua myvi mengalami kecederaan.
Katanya, kedua-dua mereka telah dihantar ke Klinik Kesihatan Beladin oleh orang awam.
"Operasi ditamatkan pada jam 6.57 petang," katanya.